KERJA UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK KERJA?

kerja untuk hidup

Mana yang betul, kerja untuk hidup atau hidup untuk kerja?

Dahulu saya habiskan masa 2 tahun di syarikat meter, 6 tahun di syarikat korporat melayu dan lagi setahun di syarikat borneo. Gaji tetap setiap bulan. Gaji naik setiap tahun jika tak banyak, sikit, selalunya sikit. Meriah sikit akaun kalau ada bonus atau elaun offshore.

Hari demi hari, tahun demi tahun. Kitarannya sama. Pagi ke kerja, malam balik rumah, hujung minggu pun kerja (bahagian operation, biasalah) sehingga saya tertanya, sebenarnya kerja untuk hidup atau hidup untuk kerja.

‘Biasalah’ – sebab dah rasa biasa, kita berada di comfort zone. Ya, memang cliche. Tapi hakikatnya tak ramai yang sanggup keluar dari kitaran. Takut tiada kerja nanti tiada duit, nak pula macam saya, isteri tidak bekerja.

Saya cuba sekali dengan bisnes kedai tinted – kecundang teruk. Tak apa, expensive lesson, takkan selamanya nak bermuram?

Keseronokan bekerja sendiri sudah mula meresap ke dalam jiwa. Mindset saya sudah bertukar. Saya cari jalan keluar. Sudah tahu jawapannya – fasa pertama, freelance di offshore. Fasa ke-dua, pendapatan tambahan pasif.

Alhamdulillah sudah hampir 4 tahun bekerja sendiri, masih boleh lagi dapur berasap. Bezanya, jika dulu perbelanjaan bulanan tetap, kerja sendiri perlukan banyak tabung. Lain orang lain sistem tabungan. Macam saya, lebih selesa begini;

Tabung perbelanjaan ke hadapan (1 – 2 tahun)

Setiap kali kerja saya cuba menabung 3 – 6 bulan duit bulanan sehingga mencapai 1 – 2 tahun tabung perbelanjaan. Macam sekarang musim suram industri, jadi sebelum ini saya menabung lebih sehingga mencapai maksima 2 tahun. Maksudnya, saya boleh sara keluarga selama 2 tahun sekiranya tiada kerja sekali pun (mintak jauh-lah!)

Tabung kecemasan mudah cair (3 bulan – 10% dari gaji)

Simpan 3 bulan perbelanjaan dalam bentuk duit untuk hal² kecemasan.

Tabung kecemasan sukar cair (3 bulan – 10% dari gaji)

Tabungan ini saya pilih emas kerana sifatnya 1) penyimpan nilai 2) susah dibelanjakan 3) boleh digadai untuk talian hayat

Tabung perbelanjaan bermusim (dikira jumlah setahun dan bahagi 12 bulan)

Ini tabungan khas untuk semua perbelanjaan tahunan – renew roadtax, insuran, dokumentasi kerja, klinik dsb

Tabung hari tua (10% dari gaji)

Bekerja sendiri tiada KWSP. Jadi saya mencarum sendiri. Cuma, beberapa gaji yang lepas saya tukarkan juga kepada sedikit emas kerana dividen KWSP semakin susut (emas bersifat kalis inflasi)

Nampak macam banyak yang ke tabung, habis nak makan apa?

Sebab itu saya rasa sangat penting dalam merancang kewangan, tulis dalam kertas, masuk dalam excel. Tips dan tricks tanya saja Google. Ramai yang berkongsi info, jika ada modal beli buku kewangan.

Orang selalu kata “kau boleh la kerja offshore, gaji banyak!” Mungkin ada benar, tapi kami ini kerja bermusim. Ada kerja, adalah duit. Tiada kerja tiada duit. Kalau sakit? Tak boleh kerja, tiada duit. Bila datang musim tandus ramai yang kekeringan, mungkin ada yang mereput. Jadi, jangan sangka semuanya indah.

Masih ingat “If you fail to plan, then you plan to fail”? Sama dengan kewangan. Harus dirancang!

Semoga anda beroleh manfaat dari perkongsian ini

Komen?

error: Hubungi saya jika anda perlukan content ini