Dewasa ini adalah norma dalam dunia maya, kehadiran ikon selebriti mahupun bukan yang menjadi ikutan netizen. Pengaruh influencer ini sangat luas sehinggakan jika kita lihat dengan lebih dekat, mereka ini mampu mempengaruhi seseorang dalam tuturan dan perilaku..
Bagi seorang influencer, agendanya adalah berlainan bagi setiap seorang. Di sini ada dua belah pihak, iaitu “yang mempengaruhi” dan “yang dipengaruhi”. Artikel ini kita hanya mahu sentuh bahagian yang kedua – orang yang dipengaruhi.
Bagi seorang influencer yang ramai pengikut, kita boleh lihat ada beberapa tahap pengikutnya. Dari yang betul fanatik, kepada yang biasa² sahaja. Apa yang kita lihat, kebanyakkan mereka ini sudah mirip kepada pengidolaan/ketaksuban. Apa yang influencer buat atau kata itulah muktamad, orang lain tak betul.
Kita yang umat Islam, jika semak sejarah perutusan Nabi Nuh A.S kepada kaumnya yang ketika itu majoriti sudah lupa Tuhan yang satu dan menyembah berhala. Bagaimana ini berlaku?
Dalam buku Ibn Katsir “Qishasul Anbiya” (kisah para Nabi), diceritakan sebelum kedatangan Nabi Nuh A.S, terdapat 5 orang wali Allah yang bernama Wadd, Suwa, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr. Disebabkan kesolehan mereka yang membawa ajaran dari Nabi Syith A.S
Setelah mereka meninggal dunia, masyarakat sangat meratapi pemergian mereka. Maka datang Iblis berbisik kepada mereka supaya didirikan patung² sempena wali² itu dan patung² itu diletakkan di tempat biasa mereka beribadat bagi memperingati mereka.
Kemudiannya, Iblis berbisik kepada mereka lagi supaya didirikan pula patung² itu di rumah masing² supaya lebih rapat dan dekat, mudah untuk mengingati para wali tersebut.
Setelah langkau beberapa generasi, anak muda sudah lupa asbab patung² itu didirikan dan sebaliknya terus menyembah patung² tersebut kerana mengikut tradisi nenek moyang mereka, malah ada juga dinaikkan patung yang beraneka macam mengikut selera mereka (1)
Insepsi ini mirip kepada pengaruh influencer yang sekarang ini jelas kita boleh lihat. Asalnya kita ikut seseorang itu kerana kita lihat kebaikannya, ketrampilannya, tutur katanya dsb. Bila sudah tahap fanatik, kita lupa yang influencer juga manusia.
Jika di alam maya tak bersemuka, begitu mudah kita taipkan komen kata nista, tak memperduli perasaan orang lain. Berlumba² kita mahukan orang bersetuju dengan pendapat kita, kerana dirasakan selari dengan dukungan influencer. Ada yang berkelompok pula, membaham sesiapa yang dirasakan “tidak betul”.

Sekadar mahu memperingati, kita ini manusia akhirnya ke kubur juga. Apakah dapatan kita buat bekal di akhirat nanti jika terlalu taksub dengan influencer? Apa mereka akan tolong jawab nanti di akhirat?
Wallahualam, sekadar luahan pendapat di kala pandemik. Kekal selamat.
- Sayyid Qutub (2007) Fi Zhilalil Quran, penterjemah As’ad Yasin & Abdul Aziz Salim, Gema Insani, Indonesia, jilid 12, hlm 44