Mak pernah berpesan, hidup ini jangan kita susahkan orang lain. Namun, saya fikir bila kita mati pun usah kita susahkan orang lain. Maka itu, saya nak kongsi 4 tips persiapan kewangan sebelum mati dengan anda..
Tips ini saya sendiri gunapakai hasil dari permerhatian saya terhadap keluarga saya dan isteri serta sembang dengan kawan² yang saya kira bagus pengurusan kewangannya.
#1 – Sediakan wasiat
Bagi kita yang umat Islam, Nabi Muhammad sendiri menganjurkan kita sediakan wasiat semasa kita hidup agar urusan pembahagian harta kelak tidak membebankan keluarga kita kelak. Ada banyak agensi/syarikat yang menyediakan khidmat ini seperti Amanah Raya, Wassiyah Shoppe dan As-Salihin
Cuma, mungkin kita sering dimomok dengan cerita² filem mengenai pembahagian harta pusaka dan menganggap ia mudah. Ditambah pula dengan ejen² syarikat yang mungkin tidak menitikberatkan butiran penting, maka saya syorkan anda baca artikel ini untuk mendapatkan kefahaman ringkas dari ahlinya.
#2 – Sediakan tabung mudah cair 3 bulan perbelanjaan
Tabung kecemasan ini dalam bentuk duit dan kita “beri” kepada waris kita. Maksudnya ia bukan harta kita. Gunanya, bila kita mati, waris boleh menggunakan duit ini sementara urusan pengagihan harta selesai. Urusan naik turun mahkamah makan masa. Beruntung jika di kalangan waris tidak menentang lantikan wasi (baca dulu artikel pautan di #1) dan bidang kuasa pembahagian harta.
Saya pilih emas sebagai tabung ini kerana sifatnya yang meningkat nilai.
#3 – Berpesan kepada pasangan butiran akaun (bank, tabung haji, ASB, duit pencen dsb)
No akaun, no PIN jika selesa kongsi saja dengan pasangan kita. Kalau katil pun boleh kita kongsi, apalah sangat kongsi no PIN. Sewaktu arwah mak mertua meninggal, kami keluarkan dahulu kesemua duit dalam akaun² dan catatkan jumlahnya.
Ini kerana, bila kematian bank akan membekukan dahulu akaun pemilik dan menunggu waris berurusan dahulu dengan Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Sivil. Kebanyakan harta yang tidak dituntut (boleh semak di Amanah Raya) adalah kerana waris kadang² merasakan renyah berurusan dengan bank bila berlaku kematian.
#4 – Tukar milik hartanah
Banyak orang suka beli rumah dan tanah sebagai aset atau harta terutamanya orang dulu². Banyak cerita kita dengar bila kematian, hartanah menjadi rebutan anak². Tambahan pula hartanah masih atas nama si mati. Pening kawan². Nak pula jika tanah pusaka di kampung 3 generasi, 1 geran pecah 4 nama, dan pecah lagi selepas generasi seterusnya. Panjang cerita mahu selesai.
Maka jika dalam hayat berniat mahu memberi harta kepada anak², awal lagi kita berikan. Jika umur pun sudah lanjut dan kesihatan pun kurang baik, tukarkan nama siap². Nak tukar nama pun ada kos.
Sebab saya sudah lihat banyak sangat kisah pergeseran pemilikan harta peninggalan, saya takut betul mahu ada hartanah. Untuk anak isteri, harta terkumpul dalam bentuk emas terus saya berikan mereka. Itu harta mereka, tanggungjawab mereka.
Rumah pun masih menyewa, tapi yalah takkan sampai tua?
Jadi, dalam kelana saya ke perkampungan rupanya ada orang yang menyewa tanah kampung dan bina rumah atasnya. Esok mati, rumah itu terbiarpun boleh dilupuskan, cuma jangan lupa sediakan duitnya, naya anak² kita nanti.
Jadi macam mana kawan², sudah ada persiapan kewangan sebelum mati?