Dalam sistem Public Gold, proses ini biasanya dipanggil Buy Back.
Maksudnya, Public Gold membeli semula emas daripada pemegang akaun.
Tetapi dari sudut kita sebagai pemegang akaun GAP, lebih mudah faham kalau kita sebut sebagai jual semula emas GAP.
Artikel ini saya tulis secara ringkas supaya pembeli baru faham apa maksud jual semula, bila ia sesuai dibuat dan perkara penting yang perlu disemak sebelum meneruskan proses.
Apa Maksud Jual Semula Emas GAP?
Jual semula emas GAP bermaksud anda menjual semula baki emas yang ada dalam akaun GAP kepada Public Gold.
Apabila proses ini berjaya, nilai jualan akan dibayar ke akaun bank anda, tertakluk kepada proses dan semakan Public Gold.
Ini berbeza dengan pengeluaran emas fizikal.
Kalau anda keluarkan emas fizikal, anda mahu emas itu berada di tangan anda. Tetapi kalau anda jual semula emas GAP, anda mahu tukarkan baki emas dalam akaun GAP kepada tunai.
Bila Orang Biasanya Jual Semula Emas GAP?
Biasanya orang jual semula emas GAP apabila mereka perlukan tunai, mahu ambil keuntungan, mahu susun semula simpanan, atau mahu menggunakan duit itu untuk keperluan tertentu.
Cuma, jangan terlalu cepat menjual hanya kerana panik melihat harga emas turun naik.
Harga emas memang boleh berubah. Sebelum jual, semak dahulu tujuan anda. Adakah anda benar-benar perlukan tunai, atau sekadar terikut emosi semasa?
Emas lebih sesuai dilihat sebagai simpanan jangka sederhana hingga panjang. Jadi keputusan menjual pun sebaiknya dibuat dengan tenang.
Semak Harga Jual Semula
Sebelum buat jual semula, semak dahulu harga semasa.
Harga jual semula biasanya merujuk kepada harga PG Sell yang tertera dalam sistem Public Gold.
Jangan keliru antara harga beli dan harga jual semula.
Harga beli ialah harga ketika kita membeli emas. Harga jual semula pula ialah harga yang digunakan apabila Public Gold membeli semula emas daripada kita.
Perbezaan antara harga beli dan harga jual semula ini biasa disebut sebagai spread.
Pastikan Maklumat Bank Betul
Sebelum buat jual semula emas GAP, pastikan maklumat bank dalam akaun Public Gold sudah betul.
Nama pemegang akaun bank sepatutnya sama dengan nama pemilik akaun GAP.
Public Gold biasanya tidak memasukkan duit jual semula ke akaun pihak ketiga. Maksudnya, kalau akaun GAP atas nama anda, duit jualan biasanya perlu masuk ke akaun bank atas nama anda juga.
Sistem akan secara default menggunakan maklumat bank yang telah disimpan di bahagian “Update Bank Info”.
Ini penting untuk elak masalah bayaran, semakan keselamatan dan kelewatan proses.
Namun ada juga beberapa kes tertentu yang dibenarkan menggunakan akaun bank pihak ketiga tetapi perlu dibuat secara manual oleh staff. Untuk pelanggan biasa, lebih selamat pastikan akaun bank memang atas nama sendiri.
Berapa Lama Duit Jual Semula Masuk?
Biasanya proses jual semula emas GAP melalui sistem Public Gold boleh mengambil masa sehingga 2 hari bekerja.
Jadi kalau anda perlukan tunai segera pada hari yang sama, proses ini mungkin bukan pilihan paling cepat.
Dalam konteks akaun GAP, semua proses jual semula memang perlu dibuat melalui sistem Public Gold. Jadi kalau anda perlukan duit dengan segera, lebih baik fikir semula sebelum buat jual semula selagi emas itu masih berada dalam akaun GAP.
Kalau Mahu Cash On The Spot
Kalau anda mahu cash on the spot, itu biasanya hanya boleh dibuat jika emas tersebut sudah berada dalam bentuk fizikal di tangan anda.
Contohnya, anda sudah keluarkan emas fizikal daripada GAP, atau anda memang simpan gold bar / dinar secara fizikal.
Dalam keadaan begitu, anda boleh menjual emas fizikal di open market seperti kedai emas atau pembeli emas lain, bergantung kepada harga dan syarat pembeli tersebut.
Tetapi kalau emas masih berada dalam akaun GAP, laluan yang sesuai ialah jual semula melalui sistem Public Gold.
Cara Umum Jual Semula Emas GAP
Secara umum, prosesnya lebih kurang begini:
- Login ke akaun Public Gold.
- Pergi ke bahagian GAP.
- Pilih tab Sell
- Pilih sama ada mahu jual dalam gandaan gram atau dalam nilai ringgit, kemudian semak baki emas yang mahu dijual.
- Semak harga jual semula semasa.
- Pastikan maklumat bank betul.
- Ikut arahan sistem sehingga proses selesai.
- Simpan rekod transaksi sebagai rujukan.
Paparan sebenar mungkin berubah dari semasa ke semasa. Dalam panduan ini, lebih penting untuk faham konsepnya dahulu: anda menjual semula emas dalam akaun GAP kepada Public Gold, dan bayaran akan dibuat ke akaun bank anda yang didaftarkan.

Sebelum Anda Pergi…
Jual semula emas GAP bukan sekadar tekan butang untuk dapat duit.
Kita perlu faham bahawa dari sudut sistem, proses ini dipanggil Buy Back. Tetapi dari sudut kita sebagai pemegang GAP, maksudnya ialah kita menjual semula emas yang ada dalam akaun.
Pastikan harga sudah disemak, maklumat bank betul dan akaun bank atas nama sendiri.
Biasanya duit jual semula boleh mengambil masa sehingga 2 hari bekerja untuk diproses. Jadi kalau anda perlukan tunai segera, fahamkan dahulu bahawa proses GAP tidak sama seperti menjual emas fizikal secara terus di kedai.
Yang penting, jangan jual kerana panik.
Jual bila ada sebab yang jelas, dan buat keputusan dengan tenang.
