Emas dalam bahasa Arab adalah ذَهَب, uniknya terdapat beberapa potongan ayat menarik tentang emas dalam al quran yang mungkin kita sebagai umat Islam tidak tahu.
Berikut beberapa potong ayat yang dipetik dari Al Quran untuk kita renungkan bersama..
#1 – Emas adalah benda yang cantik pada pandangan manusia
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)
(A-li’Imraan 3:14)
#2 – Emas diletakkan pada nilai yang sangat tinggi
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.
(A-li’Imraan 3:91)
#3 – Emas adalah simpanan sebenar (dan perlu dibelanjakan di jalan Allah)
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(At-Taubah 9:34)
#4 – Emas sebagai perhiasan di dalam Syurga
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.
(Al-Kahfi 18:31)
#5 – Emas dijadikan perhiasan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh di Syurga
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.
(Al-Hajj 22:23)
#6 – Balasan berupa emas perhiasan di Syurga
(Balasan mereka ialah) Syurga – syurga ” Adn “, yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.
(Faatir 35:33)
#7 – Emas sebagai penanda darjat (yang tinggi)
“(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?”
(Az-Zukhruf 43:53)
#8 – Emas barangan berharga buat penghuni Syurga
Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”
(Az-Zukhruf 43:71)
Al Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaga
(Al-Hijr 15:9)
Al Quran diturunkan kepada manusia sebagai panduan manusia seluruh alam, tak kira zaman. Maka benarlah firman Allah yang bermaksud;
Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam
(At-Takwiir 81:27)
Kita boleh lihat, emas disebut berulang kali di dalam Al Quran sebagai balasan atau “reward” bagi umat Islam yang beriman dan beramal soleh. Malah, janji-Nya emas itu berada di dalam Syurga untuk kita kecapi.
Tidakkah itu menunjukkan betapa hebatnya logam ini? Wallahualam
3 Comments
lililala
30th November 2022 at 3:36 pmKalau al-Quran pun mengiktiraf emas, Insyaa Allah nilai emas tidak akan jatuh sepanjang zaman walaupun ada crypto, bitcoin dll
Syed Mustaffa
1st December 2022 at 7:34 pmWallahualam, post ini hanyalah dari pemerhatian dan carian saya, mungkin ada kekhilafan.
Mohdd Razali Bin Wahab
22nd December 2023 at 7:35 amsokong 100% bagi kesedaran tentang emas mengikuti panduaan Al Quraan