Minggu lepas 5 April 2023, merupakan harga emas tertinggi tahun 2023 setakat post ini ditulis. Maka saya ambil peluang ini untuk jual semula emas ke Public Gold, yang saya rasakan tempat terbaik untuk jual emas. Bukanlah kerana tawaran harga beli semula yang menarik, tetapi pengalaman keseluruhan yang mudah menjadi pilihan saya.
Saya jual semula 3 item emas iaitu; 1 dinar Public Gold (dibuka seal), 1 dinar syarikat lain (seal boleh buka) dan juga 1 gram Public Gold (dibuka seal). Harga dibeli pula berbeza kerana dibeli pada tahun berbeza;
Item | Tahun Dibeli | Harga Dibeli |
1 Dinar Public Gold | 2017 | RM744 + premium RM10 = RM 754 |
1 gram Public Gold | 2018 | RM184 + premium RM10 = RM194 |
1 Dinar syarikat lain | 2021 | RM1,101 |
Ini pula invois dari Public Gold, hasil jual semula emas² tadi;
Harga Public Gold pula untuk hari saya jual kesemua emas;

Jom kita kira sikit, untung yang diperoleh dan spread margin yang dikenakan semasa jual semula. Untuk dapatkan harga per gram pada hari tersebut, kita tengok saja harga bagi 10g. Manakala untuk 1 dinar sedia tertera. Perlu kita tahu yang harga paparan Public Gold dikemaskini setiap 20 minit, saya jual sekitar jam 2 tengah hari, manakala harga tertera adalah pada jam 4.55 petang, jadi mungkin ada sedikit perubahan.
Item | Tahun Dibeli | Harga Dibeli | Harga Buy Back | Untung | Spread |
1 Dinar Public Gold | 2017 | RM744 + premium RM10 = RM 754 | RM1,187 | RM433 | ~9% |
1 gram Public Gold | 2018 | RM184 + premium RM10 = RM194 | RM279 | RM85 | ~9% |
1 Dinar syarikat lain | 2021 | RM1,101 | RM1,155 | RM54 | ~12% |
Kesimpulan
1- Emas adalah medium pelaburan jangka lama, untuk merasa untung perlu tunggu lama. Jadi, emas tidak sesuai sebagai pelaburan jangka pendek
2 – Tempat terbaik jual emas adalah di tempat yang kita beli kebiasaannya. Syarikat akan mengenakan spread yang lebih tinggi untuk emas yang bukan dari keluaran sendiri. Ini pun sudah dikira bagus spread hanyalah sekitar 12%, jika ke syarikat lain ada yang mencecah 20-25% kerana dikira “emas terpakai”
3 – Public Gold tidak mengenakan cas tambahan (kenakan spread lebih tinggi) bagi item yang dibuka seal. Ini bagus untuk emas yang kita gadai di ar-rahnu, kerana proses semak ketulenan di ar-rahnu perlu buka seal
4 – Jual semula ke Public Gold hanya dapat bayaran melalui bank transfer, ini ambil masa sekitar 2-3 hari, jadi tidak sesuai untuk mereka yang perlukan fast cash di kaunter. Sebagai contoh, orang yang bankrap mahu jual emas dan tiada akaun bank perlu maklumkan branch terlebih dahulu.