Orang kata masuk usia 40 tahun ni tempoh umur matang manusia, masa ini lah penentu karekter seseorang itu menempuh tahun² mendatang. Kali ini, sajalah saya nak kongsi beberapa tips personal menjelang umur 40 tahun.
#1 – Kurangkan Makan
Kebanyakkan penyakit berpunca dari perut dan dari apa yang kita makan. Jaga pemakanan, makan yang baik². Ambil suplemen jika perlu, dapatkan nasihat dari pakar (dietitian contohnya) dan bukan percaya bulat² ejen produk
#2 – Kurangkan Bercakap
Cause & Effect. Setiap perkara yang kita lakukan atau cakap, akan ada akibat. Setiap perbuatan kita akan membawa kepada perkara yang baik atau buruk. Lebihkan yang baik, kurangkan yang buruk. Jika tidak pasti, berdiamlah kerana bila berdiam pasti tiada akibat.
#3 – Kurangkan Kawan
Bukanlah kita harus buang kawan² kita semua. Cuma, jika perasan pastinya di kalangan kawan² kita pun ada “tier” atau peringkat yakni; kawan² yang betul² rapat, kawan yang rapat, kawan biasa² contohnya. Kurangkan kawan di peringkat bawah. Kekalkan yang rapat, kerana mereka inilah biasanya yang akan datang bila kita sakit.
#4 – Kurangkan Hal Dunia
Di peringkat umur muda, pasti kita pulun kerja kerana mahukan hidup yang lebih baik. Mahu ada keluarga, mahu ada rumah baik, mahu ada kereta bagus dsb. Menjelang umur 40-an ini, kita perlu belajar mensyukuri nikmat apa yang telah diberikan. Belajarlah “menerima”. Jika tidak, pastinya semuanya tidak mencukupi, jika ada kereta pasti mahukan yang lebih besar. Jika ada rumah pasti mahukan yang lebih mewah. Kerja lagi, hutang lagi. Sampai bila tak habis.
#5 – Kurangkan Hidup di Alam Maya
Bukan anak muda sahaja yang aktif di sosial media, malah sekarang ini ramai sahaja influencer di kalangan umur hujung 30-an mencecah ke 40-an. Ada yang memang membuat konten kerana berniaga. Ada juga yang memang popular dengan konten yang santai dan bersahaja. Mahu ke kedai beli sayur pun di-kontenkan, caption “POV beli daun bawang ke daun kunyit”. Kawan², hiduplah di dunia. Keluarlah menikmati hidup tanpa lensa.
