Arkib

Tags

  • Home
  • Kewangan
  • Cara Membina Dana Kecemasan Walaupun Gaji Cukup-Cukup Makan

Cara Membina Dana Kecemasan Walaupun Gaji Cukup-Cukup Makan

Ramai anak muda beranggapan bahawa dana kecemasan hanya untuk mereka yang bergaji besar..

Hakikatnya, golongan berpendapatan rendah atau yang baru memulakan kerjaya sebenarnya lebih memerlukan dana kecemasan kerana mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan yang tidak dijangka.

Jika anda selalu rasa gaji hanya cukup untuk menampung keperluan bulanan, jangan risau. Dana kecemasan masih boleh dibina sedikit demi sedikit.

1. Mulakan Dengan Sasaran Kecil, Bukan Ribuan Ringgit

Ramai yang gagal menyimpan kerana terlalu fokus kepada jumlah besar seperti RM10,000 atau RM20,000.

Sebaliknya, tetapkan sasaran pertama sebanyak RM500 atau RM1,000. Jumlah ini mungkin nampak kecil, tetapi ia sudah mampu membantu jika berlaku kecemasan seperti motosikal rosak, telefon rosak atau perlu mendapatkan rawatan perubatan.

Ingat, dana kecemasan dibina secara berperingkat, bukan sekaligus.

2. Simpan Dulu Sebelum Berbelanja

Kesilapan paling biasa ialah menunggu baki hujung bulan untuk menyimpan. Malangnya, selalunya tiada baki yang tinggal.

Apabila gaji masuk, terus asingkan sejumlah kecil seperti RM50 atau RM100 ke dalam akaun khas simpanan. Paling bagus, buatkan akaun bank khas untuk tujuan ini atau simpan sahaja di dalam Tabung Haji atau ASB. Sekurang-kurangnya setiap tahun ada juga dividen. Malah dengan akaun emas GAP, boleh membeli emas sebagai simpanan serendah RM100

Walaupun jumlahnya kecil, konsistensi lebih penting daripada jumlah yang besar tetapi tidak berterusan.

3. Cari Duit Daripada Kebocoran Kecil

Kadang-kadang kita rasa tiada duit untuk disimpan, tetapi sebenarnya duit bocor setiap hari tanpa disedari.

Contohnya:

  • Makanan penghantaran yang kerap (grabfood, foodpanda, dll.)
  • Kopi atau minuman mahal setiap hari
  • Langganan aplikasi yang jarang digunakan (netflix, spotify, dll.)
  • Pembelian impulsif ketika jualan dalam talian (shopee, lazada, dll.)

Jika anda berjaya menjimatkan RM5 sehari, anda sudah boleh mengumpul lebih RM150 sebulan untuk dana kecemasan.

4. Asingkan Dana Kecemasan Daripada Duit Belanja

Salah satu sebab simpanan cepat habis ialah kerana ia bercampur dengan duit perbelanjaan harian.

Gunakan akaun berasingan atau kaedah simpanan (sistem sampul) yang membuatkan anda kurang cenderung untuk mengeluarkan wang sesuka hati.

Lebih sukar untuk dicapai, lebih tinggi peluang simpanan anda kekal berkembang.

5. Anggap Dana Kecemasan Sebagai Pelindung Masa Depan

Dana kecemasan bukan untuk bercuti, membeli telefon baru atau mengikuti trend semasa.

Tujuannya adalah untuk melindungi anda apabila berlaku perkara yang tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kecemasan keluarga.

Apabila dana kecemasan tersedia, anda tidak perlu bergantung kepada hutang, kad kredit atau pinjaman peribadi ketika menghadapi masalah.

Kesimpulan..

Membina dana kecemasan bukan soal berapa besar gaji anda, tetapi sejauh mana anda konsisten menyimpan. Walaupun gaji cukup-cukup makan, menyimpan RM50 hingga RM100 sebulan tetap lebih baik daripada tidak menyimpan langsung.

Mulakan dengan jumlah yang mampu, kekalkan disiplin dan berikan masa. Sedikit demi sedikit, anda akan mempunyai tabung kecemasan yang mampu memberikan ketenangan apabila diperlukan.

Leave a Reply

error: Hubungi saya jika anda perlukan content ini