Arkib

Tags

  • Home
  • Kewangan
  • PENGURUSAN KEWANGAN KELUARGA PERLU BERMULA DARI AWAL PERKAHWINAN

PENGURUSAN KEWANGAN KELUARGA PERLU BERMULA DARI AWAL PERKAHWINAN

Perihal pengurusan kewangan keluarga ini tak diajar di sekolah mahupun universiti. Setelah berumahtangga menjadi tanggungjawab kita khususnya buat lelaki memastikan tahap kewangan rumahtangga berada dalam keadaan sihat dan baik. Ini penting kerana salah satu punca keretakan rumahtangga adalah berpunca dari masalah kewangan, terutamanya bebanan hutang.

Malah, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Bahagian V1 – Nafkah isteri, anak dan lain-lain menyatakan:

Bahagian 73

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

MAIS

Bagi kita yang beragama Islam, jelas dinyatakan dalam peruntukan undang-undang negeri bahawa seorang suami itu wajib menyediakan yang berikut;

  1. Tempat Tinggal
  2. Pakaian
  3. Makanan
  4. Perubatan
  5. Pelajaran
pengurusan kewangan keluarga
Image by jcomp on Freepik
#1 – Tempat Tinggal

Carilah tempat tinggal yang sesuai dengan keadaan kewangan kita, takkan pula kerak lebih besar dari periuk? Umum masyarakat Malaysia khasnya generasi terdahulu menerapkan idealogi bahawa harta itu adalah rumah. Cuma zaman sekarang, kadang² pendapatan kita tak padan untuk membeli rumah. Terutamanya ketika baru sahaja mendirikan rumahtangga. Menyewa saja dulu pun tiada masalah, asalkan tempat tinggal keluarga kita cukup memberikan perlindungan dari hujan dan panas.

Kedua, di awal rumahtangga keutamaan adalah mengukuhkan dulu ekonomi keluarga. Lebih terasa jika hanya seorang sahaja yang bekerja. Malah, bertambah “seksa” jika hidup di kotaraya seperti Kuala Lumpur. Jika mahu membeli hartanah untuk pelaburan, selidik betul² dahulu. Carian maklumat bukan sahaja di laman internet, sekarang pun sudah ramai pakar hartanah yang menganjurkan seminar hartanah. Takut nanti, salah langkah melabur rumah habis lebur duit simpanan malah bertambah teruk bila rumahtangga itu porak peranda keranan kekangan kewangan dan hutang melampau.

#2 – Pakaian

Bagi kebanyakan masyarakat melayu, pakaian baru dibeli ketika menjelang Aidilfitri dan baju sekolah anak². Jadi perbelanjaan pakaian boleh dikira sebagai perbelanjaan bermusim. Afdalnya kita adakan satu tabung simpanan bermusim dan di situ kita mengasingkan duit siap² supaya bila sampai masanya, duit telah tersedia untuk membeli pakaian. Pakaian pula ikutlah bajet kita, bila terlalu mahukan pakaian mahal² nanti tak terkejar pula mahu membina tabungan.

#3 – Makanan

Ini agak mudah, kerana normal di Malaysia lelaki memberikan “duit dapur” kepada isteri kerana berharap kepada wanita bagi menguruskan makan minum di rumah. Cuma, yang sebetulnya, jika kita memberikan “duit dapur” maka itu perlu khusus kepada belanja makan dan minum. Yang menjadi masalah, malah popular diluahkan di media sosial bila mana lelaki memberikan “duit dapur” dan mengharapkan belanja lain² seperti bil utiliti, pampers, kerosakan rumah, dll. diambil dari “duit dapur”.

Jadi duit belanja makan minum rumah sudah dikikis, lelaki pula buat² tak tahu. Tak betul kawan²..

#4 – Perubatan

Takrifan perubatan terdapat beberapa khilaf, dan lelaki sering ambil mudah perkara ini. Kebiasaannya, kerana sudah ada “coverage” dari syarikat bekerja. Bagusnya, ketua keluarga perlu menyediakan juga pelan takaful perubatan bagi menampung perbelanjaan hospital sekiranya dimasukkan ke hospital. Jika last minute baru mahu mencari duit, kan pening kepala? melainkan pilihan terakhir adalah hospital kerajaan (tak salah pun).

Bagi lawatan klinik pula, selok-eloknya kita juga sediakan sejumlah wang dalam tabung belanja bermusim juga. Jika tak guna, “carry forward” saja ke tahun seterusnya.

#5 – Pelajaran

Sebagai seorang bapa, kita pasti mahukan anak² kita mempunyai masa depan yang bagus dan pelajaran yang bagus biasanya dikaitkan dengan kerja yang bagus, seterusnya mampu memperoleh pendapatan yang baik. Dalam pendidikan belanja paling mahal mungkinnya sewaktu pendidikan tinggi di universiti. Biaiya universiti sahaja mencecah puluhan ribu, tambahan lagi belanja makan minum, tempat tinggal dll.

Syukur jika anak dapat bantuan biasiswa atau mungkin pinjaman pendidikan, namun belanja yang lain² kita perlu sediakan. Bukanlah “cuci tangan” sahaja bila anak² mendapat tajaan atau pinjaman. Belanjanya banyak, jadi bagusnya anak² dari awal usia kita sudah menabung. Banyak produk simpanan pelajaran yang ada, jika tak dapat kumpul semua sekurang²nya ada daripada tiada langsung.

Kesimpulan

Sebagai ketua keluarga, pastinya kita mahukan yang terbaik buat keluarga. Perancangan kewangan keluarga yang bagus dapat mengurangkan malah mungkin mengelakkan masalah² keluarga yang berkait dengan duit. Anak² pun dapat membesar dengan gembira. Malah, jika kita sebagai bapa menunjukkan dan berkongsi amalan² pengurusan kewangan yang baik, anak² kita juga pasti akan mengikut dan seterusnya menurunkan kepada generasi seterusnya.

Bagi umat Islam, sudah jelas dalam hukum syariah mengenai tanggungjawab kita sebagai seorang ketua keluarga. Ambil masa untuk mendalami maksud tersurat dan tersirat dalam 5 perkara ini. Jika dituruti pasti diberkati Insya Allah.

Leave a Reply

error: Hubungi saya jika anda perlukan content ini