Ada satu tahun yang saya tidak akan lupa.
2013.
Tahun itu saya membuat keputusan untuk meninggalkan kerja makan gaji dan memulakan kehidupan sebagai freelance pengendali ROV di offshore.
Ramai orang fikir keputusan itu dibuat kerana mahu pendapatan yang lebih tinggi.
Itu hanya sebahagian daripada sebabnya.
Sebab yang lebih besar ialah…
Saya sudah tidak mahu hidup terlalu terikat.
Dan saya mahu melangsaikan hutang secepat mungkin.
Pada ketika itu, saya percaya jika pendapatan meningkat, impian itu akan menjadi lebih mudah dicapai.
Alhamdulillah, keputusan itu membuka banyak pintu rezeki.
Tetapi dalam masa yang sama, saya juga belajar bahawa bekerja secara freelance memerlukan cara berfikir yang berbeza.
Pendapatan tidak datang setiap bulan.
Ada masa projek berturut-turut.
Ada masa kita hanya menunggu panggilan kerja yang seterusnya.
Di situlah saya mula benar-benar memahami maksud merancang kewangan, bukan sekadar mengurus perbelanjaan.
Kalau hari ini saya diberi peluang kembali ke tahun 2013…
Inilah lima perkara yang akan saya lakukan dengan cara yang lebih baik.
1. Saya Akan Terus Kekalkan Disiplin Yang Saya Bina Sejak Tahun 2007
Sebenarnya saya bukan baru belajar mengurus duit selepas menjadi freelancer.
Sejak mula bekerja di Singapura pada tahun 2007, saya memang sudah membiasakan diri hidup dengan bajet bulanan.
Saya selalu berpesan kepada diri sendiri,
“Kalau aku berbelanja ikut gaji Singapura, nanti bila balik Malaysia, hidup aku pula yang akan terkejut.”
Sebab itu saya cuba hidup mengikut kemampuan, bukan mengikut jumlah gaji.
Hari ini saya bersyukur kerana keputusan itu menjadi asas kepada perjalanan kewangan saya.
2. Saya Akan Belajar Membina Aset Lebih Awal
Walaupun saya sudah biasa merancang perbelanjaan, saya sedar satu perkara apabila menjadi freelancer.
Pandai mengawal perbelanjaan tidak semestinya bermaksud kita sudah pandai membina aset.
Dua perkara itu berbeza.
Mengurus duit membantu kita bertahan.
Membina aset membantu kita bergerak ke hadapan.
Saya harap saya memahami perbezaan ini lebih awal.
3. Saya Akan Membina Dana Kecemasan Lebih Awal
Apabila pendapatan tidak tetap, ketenangan juga datang daripada persediaan.
Saya belajar bahawa dana kecemasan bukan sekadar simpanan.
Ia adalah ruang untuk kita bernafas apabila projek perlahan atau perkara yang tidak dijangka berlaku.
Kalau saya bermula semula hari ini…
Dana kecemasan akan menjadi antara perkara pertama yang saya bina.
4. Saya Akan Mula Menyimpan Emas Tanpa Menunggu Keadaan Sempurna
Dulu saya selalu fikir saya perlu tunggu keadaan lebih stabil.
Tunggu hutang semakin berkurang.
Tunggu ada lebihan.
Hakikatnya, keadaan yang benar-benar sempurna hampir tidak pernah wujud.
Yang saya perlukan hanyalah keberanian untuk bermula mengikut kemampuan.
Sedikit demi sedikit.
5. Saya Akan Menikmati Perjalanan Ini Dengan Lebih Tenang
Bila kita ada matlamat besar, kadang-kadang kita terlalu tergesa-gesa.
Saya juga pernah begitu.
Mahu cepat bebas hutang.
Mahu cepat membina aset.
Mahu cepat mencapai sasaran.
Hari ini saya melihat semuanya dengan cara yang berbeza.
Perjalanan kewangan bukan perlumbaan.
Ia adalah proses yang mengambil masa.
Yang penting bukan siapa paling laju.
Tetapi siapa yang terus melangkah walaupun perlahan.
Sekadar Renungan…
Kalau saya benar-benar boleh kembali ke tahun 2013…
Saya masih akan membuat keputusan yang sama.
Saya masih akan meninggalkan kerja makan gaji.
Saya masih akan memilih kehidupan sebagai freelancer.
Kerana keputusan itulah yang banyak membentuk cara saya melihat kehidupan hari ini terutamanya bab pengurusan kewangan freelancer
Bezanya…
Saya akan melangkah dengan pemahaman yang lebih baik.
Bahawa mengurus perbelanjaan hanyalah permulaan. Cabaran sebenar ialah membina aset, menyediakan perlindungan untuk keluarga dan memastikan setiap rezeki yang datang mempunyai tujuan.
Saya percaya rezeki bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita peroleh. Rezeki juga tentang sejauh mana kita mampu mengurus, mensyukuri dan memanfaatkannya untuk masa depan orang yang kita sayang.



