Arkib

Tags

5 TIPS BELI KERETA PERTAMA ANDA

Entri ini khas ditulis buat adik² yang baru melangkah ke alam pekerjaan, yang sudah merasa duit sendiri dan mungkin dalam perancangan memiliki kereta. Mungkin nampak simple, tapi beli kereta ini salah satu komitmen yang besar jadi besar hati saya untuk kongsi beberapa tips beli kereta agar tidak terjerumus dalam neraka kewangan.

#1 – Tentukan dahulu beli kereta ini betul keperluan atau kehendak

Kereta ini asalnya adalah untuk bawa kita dari A ke B. Cuma pengalaman perjalanan itu berbeza² mengikut kereta. Semestinya kereta yang mewah pastinya lebih selesa. Soalnya sekarang, adakah betul² kita perlukan kereta? Adakah pilihan lain seperti pengangkutan awam atau menunggang motosikal cukup memadai.

Kebiasaannya, bila sudah berumahtangga dan ada anak, keutamaan kita sudah bertukar. Jika dulu bujang, cukup saja menunggang motosikal. Tapi sekarang sudah ada anak & isteri. Susah juga nak balik kampung nanti kan.

Maka betul²lah kita fikirkan samada memiliki kereta itu menjadi keperluan atau hanyalah kehendak, mengikut² kawan ataupun “peer pressure”

#2 – Kirakan KESEMUA kos pemilikan kereta, bukan hanya pinjaman bank

Ini selalu anak muda tersilap langkah. Jika dilihat di media sosial, ramai penjual kereta akan ditanya soalan seperti “gaji 1.8k loan lepas?”. Video yang ditayangkan pula adalah kereta jenama Honda atau Toyota. Aduh, nafsu besar betul.

Secara kasar, untuk mengira berapa harga kasar kereta yang mampu milik boleh menggunakan beberapa formula umum. Saya paling kerap gunakan formula “12 bulan gaji bersamaan harga kereta“.

Namun, kita perlu lebih mengembangkan kiraan kita kepada kos² pemilikan yang lain seperti; insuran kenderaan, cukai jalan, maintenance tahunan – servis, duit tayar, dll. Kesemua kos ini perlu dijumlahkan dan dibahagi untuk mendapatkan kos bulanan. Kos bulanan ini pula perlu disimpan setiap bulan ke dalam tabung perbelanjaan bermusim.

tips beli kereta
#3 – Semak skor kredit dengan CTOS

Jika anda sudah ada pinjaman, contohnya PTPTN maka kebiasaannya sudah ada rekod dalam skor kredit. Syarikat seperti RAMCI, CTOS ada menyediakan laporan skor kredit. Skor kredit yang baik akan memudahkan kita untuk membuat pinjaman. Laporan CTOS lebih mudah kerana skor kreditnya diwarnakan merah, kuning dan hijau. Lebih ke arah hijau, maka skor kredit adalah lebih baik, maka lebih mudah untuk membuat pinjaman.

tips beli kereta

Bukan apa, jika sudah minat dengan mana² kereta dan bayar duit booking, takut pinjaman tak lepas rugi duit dan masa pula.

#4 – Insuran kereta, untuk apa dan kenapa?

Insuran atau takaful kenderaan benda yang wajib untuk membayar cukai jalan. Cuma, terdapat banyak pelan takaful yang lain² harga. Murah tak semestinya bagus dan yang penting kita tak boleh membuat perbandingan “apple to orange”. Rajinkan diri sikit untuk menelaah butiran takaful atau insuran kerana tambahan perlindungan adalah kos tambahan. Fikirkan jika benar² keperluan

Satu lagi bentuk perlindungan adalah “autolife”. Nama yang dipopularkan oleh bank² Malaysia. Ini sebenarnya adalah bentuk perlindungan “reducing term”. Makna kata yang dilindungi bukan kereta tapi pinjaman, sekiranya kita kematian mengejut atau hilang upaya, ada insuran yang boleh selesaikan baki pinjaman. Keluarga pun tak pening kepala.

#5 – Resale value

Ajaibnya di Malaysia ini kadar jual semula kereta atau “resale value” berbeza² mengikut kereta. Kereta akan mengalami deprisiasi, nilai berkurang setiap tahun – sekitar 20% tahun pertama,15% tahun kedua dan seterusnya akan lebih kepada 10%.

Faktor yang mempengaruhi “resale value” kebiasaannya adalah; jenama kereta, populariti kereta, jimat minyak & kos maintenance. Jadi, paling senang untuk mengagak resale value adalah dengan mendapatkan harga jual kereta itu baru dan ke website seperti mudah, carsome atau carro dan kirakan beza dalam peratus harga tahun dengan harga jualan.

Cuma itulah, kita ini hanyalah manusia. Kadang² kita lebih utamakan hati daripada akal. Siapa tak mahu naik kereta best² kan, padahal dah kira² semua dan sedar sebenarnya kita tak mampu. Beringatlah kawan² pinjaman bank yang tenat boleh membawa kita ke arah muflis.

Bila muflis, maka bermulalah hidup kita dalam neraka kewangan.

Leave a Reply

error: Hubungi saya jika anda perlukan content ini