Bagi umat Islam, bila harta kita semakin bertambah, bukan sekadar jumlah simpanan yang perlu kita fikirkan.
Ada juga tanggungjawab yang datang bersama harta itu.
Salah satunya ialah zakat.
Zakat bukan sekadar satu lagi perbelanjaan dalam bajet tahunan. Ia merupakan kewajipan dalam Islam apabila harta yang kita miliki sudah memenuhi syarat yang ditetapkan.
Emas juga termasuk antara harta yang boleh dikenakan zakat.
Sebab itu bila kita mula menyimpan gold bar, dinar, barang kemas atau emas melalui akaun seperti GAP, elok kita faham dari awal:
bila zakat emas menjadi wajib dan bagaimana cara mengiranya?
Untuk Selangor, rujukan utama kita ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS menetapkan nisab emas bukan perhiasan berdasarkan 85 gram emas, tertakluk kepada syarat pemilikan dan haul.
Rujuk: Lembaga Zakat Selangor — Zakat Emas
Bila nak kira, mula timbul beberapa soalan.
85 gram tu untuk semua emas ke?
Barang kemas macam mana?
Emas yang dipakai sama ke dengan gold bar?
Emas dalam GAP dikira macam mana?
Kalau emas digadai di Ar-Rahnu pula bagaimana?
Kita pecahkan satu-satu.
Mula Dengan Satu Perkara: Emas Itu Jenis Apa?
Sebelum mengira zakat, kita kena tahu emas yang kita miliki berada dalam kategori mana.
Secara mudah, kita boleh lihat beberapa keadaan:
- emas bukan perhiasan,
- emas perhiasan wanita,
- emas yang digadai atau dicagar,
- emas yang dimiliki melalui akaun atau platform seperti GAP.
Cara taksirannya tak semestinya sama.
Sebab itu jangan terus campur semua emas dalam rumah dan darab 2.5%.
Fahami kategori dahulu.
#1 — Emas Bukan Perhiasan
Ini yang paling dekat dengan simpanan emas fizikal.
Contohnya:
- gold bar,
- dinar,
- syiling emas,
- jongkong,
- atau barang kemas yang sebenarnya hanya disimpan dan bukan digunakan sebagai perhiasan.
Menurut LZS, emas bukan perhiasan dikenakan zakat apabila jumlah yang dimiliki mencapai atau melebihi nisab:
85 gram
Kadar zakat ialah:
2.5%
Formula asas:
Berat emas × harga emas semasa × 2.5%
Rujuk: Semak formula rasmi Zakat Emas LZS
Contoh Mudah
Katakan kita mempunyai:
100 gram emas 999
Untuk memudahkan contoh sahaja, andaikan harga emas yang digunakan ialah:
RM500 satu gram
Maka nilai emas:
100g × RM500 = RM50,000
Zakat:
RM50,000 × 2.5% = RM1,250
Jadi jumlah zakat dalam contoh ini ialah:
RM1,250
RM500 tadi cuma angka contoh.
Jangan gunakan angka dalam artikel ini untuk bayaran sebenar kerana harga emas dan nilai nisab berubah.
Semak kadar terkini yang diterbitkan oleh LZS apabila mahu membuat taksiran.
Rujuk: LZS — Info Semasa Nisab, Emas & Perak
Kalau Baru Ada 50 Gram Gold Bar?
Kalau kita tengok emas itu sahaja:
50g belum mencapai nisab 85g.
Tetapi jangan terus simpulkan:
“Emas aku tak sampai 85g, confirm tak ada zakat.”
Kalau kita ada simpanan, pelaburan atau aset lain, taksiran keseluruhan boleh jadi berbeza.
Sebab itu bila kewangan dah melibatkan beberapa jenis aset, saya lebih selesa gunakan kalkulator atau dapatkan semakan terus daripada LZS.
Kita tak boleh pandai-pandai buat hukum sendiri.
#2 — Emas Perhiasan Wanita
Untuk emas perhiasan yang dipakai wanita, Selangor menggunakan konsep uruf.
Bahasa mudahnya, uruf ialah kadar pemakaian emas yang dianggap kebiasaan bagi masyarakat setempat.
Kadar uruf emas perhiasan di Negeri Selangor ialah:
800 gram
Jika jumlah emas perhiasan tidak melebihi kadar itu, ia tidak dikenakan zakat emas perhiasan mengikut kaedah LZS.
Jika melebihi 800 gram, zakat dikira pada bahagian yang melebihi uruf.
Formula:
(Berat emas − 800g) × harga emas semasa × 2.5%
Rujuk: LZS — Zakat Emas dan kadar uruf Selangor
Contoh Barang Kemas
Katakan seorang wanita mempunyai:
900 gram emas perhiasan
Uruf Selangor:
800 gram
Bahagian yang melebihi uruf:
900g − 800g = 100g
Jika kita gunakan RM500/g sebagai contoh:
100g × RM500 = RM50,000
Zakat:
RM50,000 × 2.5% = RM1,250
Jadi dalam contoh ini, pengiraan dibuat pada 100 gram yang melebihi uruf.
Bukan terus pada keseluruhan 900 gram.
Tapi Jangan Keliru Barang Kemas Dengan Emas Simpanan
Ini penting.
Katakan kita beli barang kemas tetapi ia tidak pernah digunakan.
Kita cuma simpan dalam peti besi sebagai emas simpanan.
Jangan terus anggap ia automatik menggunakan uruf 800 gram.
LZS membezakan emas perhiasan wanita dengan emas bukan perhiasan.
Sebab itu kegunaan emas itu memainkan peranan dalam menentukan kategorinya.
Rugi Beli Barang Kemas Kecuali Memang Nak Melawa
Kalau ragu-ragu, semak terus dengan LZS.
#3 — Emas Yang Digadai Atau Dicagar
Kalau emas berada di Ar-Rahnu, jangan terus fikir:
“Emas dah dekat kedai pajak. Jadi tak perlu zakat.”
Emas yang digadai masih merupakan milikan kita.
Menurut LZS, emas bercagar tetap diambil kira untuk zakat selepas ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.
Formula asas:
[(Nilai emas semasa) − nilai pinjaman − upah simpan] × 2.5%
Rujuk: Semak kaedah rasmi emas bercagar di LZS
Contoh Ringkas Emas Bercagar
Katakan nilai emas semasa:
RM60,000
Baki pinjaman:
RM20,000
Upah simpan:
RM500
Nilai bersih:
RM60,000 − RM20,000 − RM500
= RM39,500
Zakat:
RM39,500 × 2.5%
= RM987.50
Sekali lagi, ini contoh untuk faham formula.
Untuk kes sebenar, gunakan nilai dan kaedah semasa LZS.
Baca: Cara Pajak Emas di Ar-Rahnu — Apa Yang Perlu Tahu Sebelum Cagarkan Emas
Apa Maksud Cukup Haul?
Ini satu lagi perkara penting.
Haul secara mudah bermaksud kita memiliki harta tersebut secara berterusan selama:
satu tahun Hijri atau 12 bulan Hijri.
LZS menerangkan bahawa haul ialah tempoh setahun mengikut tahun Hijri dengan pemilikan yang berterusan.
Rujuk: LZS — Maksud Nisab dan Haul
Jadi bukan sekadar:
“Hari ini emas aku dah 85g, terus kena bayar zakat.”
Kita kena tengok juga syarat haul dan pemilikan.
Contohnya, kalau kita mempunyai simpanan emas yang cukup nisab dan pegangan itu kekal sehingga cukup satu haul, barulah kewajipan zakat dinilai berdasarkan syarat yang berkenaan.
Bagaimana Dengan GAP Public Gold?
Untuk GAP, kita kena faham satu perkara penting.
GAP bukan sekadar akaun yang nombornya naik turun ikut harga emas.
Menurut terma rasmi Public Gold, emas yang dibeli pelanggan melalui GAP disokong oleh emas fizikal Au999.9 pada setiap masa dan emas itu disimpan oleh Public Gold bagi pihak pelanggan.
Setiap pembelian pula direkodkan dalam gram dalam akaun pelanggan.
Maksud mudahnya:
kalau kita mempunyai:
100g dalam akaun GAP
pemilikan itu mewakili 100g emas.
Bukan sekadar nilai RM yang bergerak ikut harga emas.
Public Gold perlu mempunyai sandaran emas fizikal untuk jumlah emas yang telah dijual kepada pelanggan melalui GAP.
Ini penting dari sudut pemilikan dan kepatuhan syariah.
Rujuk: Public Gold — Terma dan Syarat GAP
Baca: Apa Itu Gold Accumulation Program, GAP Public Gold?
Jadi Emas Dalam GAP Kena Zakat Juga?
Kalau emas dalam GAP memang sudah menjadi milik kita, kita tak perlu tunggu sampai keluarkan gold bar fizikal baru fikir tentang zakat.
Yang penting ialah pemilikan emas itu.
Contohnya, kita mempunyai:
100g dalam GAP
Jumlah itu sudah melebihi nisab emas bukan perhiasan 85g.
Kalau pegangan yang cukup nisab itu telah dimiliki sehingga cukup satu haul, ia perlu diambil kira dalam taksiran zakat, tertakluk kepada syarat yang berkenaan.
Jadi kita tak boleh kata:
“Saya belum keluarkan emas fizikal dari GAP, jadi saya belum ada emas.”
Kita memang memiliki emas.
Bezanya, emas itu disimpan oleh Public Gold bagi pihak kita.
Bagaimana Kalau GAP Baru Cukup 100g Bulan Ini?
Di sinilah haul menjadi penting.
Katakan baki GAP kita baru mencapai 100g bulan ini.
Ia memang sudah melebihi nisab 85g.
Tetapi itu tidak semestinya bermaksud zakat terus perlu dibayar pada hari yang sama.
Kita kena lihat:
bilakah pegangan yang cukup nisab itu bermula?
Kemudian lihat sama ada pemilikan tersebut telah cukup satu haul.
Kalau cukup nisab dan cukup haul, barulah ia masuk dalam taksiran zakat.
Kalau simpanan kita melibatkan:
GAP,
gold bar,
wang tunai,
simpanan bank,
dan pelaburan lain,
lebih baik buat semakan dengan LZS supaya taksiran dibuat dengan betul.
Kenapa Sandaran Emas Fizikal Penting?
Ini beza yang ramai mungkin tak perasan.
Ada produk yang benar-benar melibatkan pemilikan emas.
Ada juga produk yang hanya bergerak berdasarkan harga emas.
Dua benda itu bukan semestinya sama.
Sebab itu bila menggunakan akaun emas, kita tak patut tengok nama produk sahaja.
Kita kena faham:
Adakah kita benar-benar memiliki emas?
Dalam kes GAP, terma rasmi Public Gold menyatakan emas yang dibeli pelanggan disokong oleh emas fizikal Au999.9 pada setiap masa.
Itu menunjukkan GAP bukan semata-mata satu rekod harga emas dalam aplikasi.
Ia melibatkan pemilikan emas yang mempunyai sandaran fizikal.
Harga Emas Mana Nak Guna?
Ini pun selalu mengelirukan.
Harga kedai A lain.
Harga kedai B lain.
Harga buyback lain.
Harga spot lain.
Untuk taksiran zakat di Selangor, paling mudah ialah rujuk harga emas yang diterbitkan oleh LZS.
LZS menyediakan harga mengikut ketulenan emas seperti 999, 950, 916 dan lain-lain.
Rujuk: Semak Harga Emas dan Nisab Terkini LZS
Jadi tak perlu buka lima website kemudian pening nak pilih harga mana.
Untuk zakat Selangor, guna rujukan pihak zakat Selangor.
Ketulenan Emas Pun Penting
Emas 999 tidak sama nilainya dengan emas 916.
Sebab itu kalau kita mempunyai beberapa jenis emas, jangan terus anggap semua gram mempunyai nilai yang sama.
LZS menyediakan harga rujukan mengikut ketulenan emas.
Baca: Rugi Beli Barang Kemas Kecuali Memang Nak Melawa
Jangan Tunggu Sampai Banyak Gold Bar Baru Fikir Zakat
Ini kesilapan yang mudah berlaku.
Kita sibuk kira:
10g.
20g.
50g.
100g.
Target seterusnya.
Tetapi tak pernah fikir tentang zakat.
Bagi saya, bila kita mula membina harta sebagai seorang Muslim, zakat patut masuk sekali dalam sistem kewangan.
Tak kisahlah emas itu berada:
dalam peti besi,
dalam Ar-Rahnu,
atau dalam GAP.
Kalau memang belum memenuhi syarat, tak ada masalah.
Sekurang-kurangnya kita faham.
Bila sampai waktunya nanti, kita tak kelam-kabut.
Jangan Hafal Nilai Ringgit Nisab
Ini sangat penting, kerana nisab selalu diterbitkan dalam berat atau gram dan bukan nilai RM.
Kalau saya tulis:
“Nisab sekarang RM sekian-sekian.”
Beberapa bulan atau tahun kemudian, angka itu boleh berubah.
Harga emas berubah.
Nilai nisab dalam Ringgit pun berubah.
Jadi lebih baik kita faham prinsip:
nisab emas bukan perhiasan = 85 gram
Kemudian semak nilai semasa ketika mahu membuat taksiran.
Rujuk: LZS — Nisab Semasa
Artikel tak cepat basi.
Pembaca pun kurang risiko menggunakan angka lama.
Jangan Malu Guna Kalkulator Atau Tanya LZS
Kadang-kadang kita rasa semua benda kena kira sendiri baru nampak pandai.
Tak perlu.
Kalau kita cuma mempunyai satu jenis emas, kiraannya mungkin mudah.
Tapi bila sudah campur:
gold bar,
GAP,
simpanan bank,
pelaburan,
barang kemas,
emas bercagar,
dan aset lain,
taksiran boleh jadi lebih kompleks.
Dalam keadaan begitu, lebih baik gunakan kemudahan rasmi atau dapatkan semakan terus daripada LZS.
Zakat bukan perkara main-main. Ia salah satu dari rukun Islam.
Yang penting kita cuba tunaikan kewajipan dengan kiraan yang betul.
Ringkasnya, Untuk Selangor
Kalau nak ingat secara mudah:
Emas bukan perhiasan
→ nisab 85g
→ zakat 2.5% apabila cukup syarat dan haul.
Emas perhiasan wanita
→ uruf Selangor 800g
→ bahagian melebihi uruf ditaksir mengikut formula LZS.
Emas bercagar
→ emas masih milik kita
→ nilai pinjaman dan upah simpan diambil kira dalam pengiraan.
GAP Public Gold
→ emas dalam akaun memang mewakili pemilikan emas
→ disokong oleh emas fizikal Au999.9 menurut terma rasmi Public Gold
→ jika pegangan cukup nisab dan cukup haul, ia perlu diambil kira dalam taksiran zakat.
Untuk ketetapan zakat:
Rujuk: Lembaga Zakat Selangor — Panduan Zakat Emas
Untuk harga emas dan nilai nisab semasa:
Rujuk: LZS — Info Semasa Nisab, Emas & Perak
Untuk struktur dan pemilikan GAP:
Rujuk: Public Gold — Terma dan Syarat GAP
Sekadar Renungan
Bila kita mula simpan emas, memang seronok tengok jumlah gram bertambah.
1 gram.
10 gram.
50 gram.
100 gram.
Tapi bagi seorang Muslim, semakin banyak harta yang kita kumpul, semakin banyak juga amanah yang datang bersamanya.
Zakat bukan sekadar satu lagi kos yang mengurangkan pulangan.
Ia adalah sebahagian daripada kewajipan kita terhadap harta yang Allah pinjamkan kepada kita apabila syaratnya telah cukup.
Sama ada emas itu berada dalam tangan kita atau disimpan bagi pihak kita, kita tetap perlu tahu apa yang sebenarnya kita miliki.
Kita kumpul.
Kita jaga.
Kita gunakan.
Dan apabila sampai kewajipannya, kita keluarkan zakat.
Tak perlu tunggu jadi orang kaya baru belajar tentang zakat.
Belajar dari awal.
Supaya bila sampai waktunya nanti, kita bukan hanya tahu:
“Berapa gram emas aku ada?”
Kita juga tahu:
“Apa tanggungjawab yang datang bersama emas itu?”



